KUANTAN: Selisih faham, masalah kewangan dan anak selain cemburu merupakan antara faktor berlakunya keganasan dalam rumah tangga di Pahang, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Sabariah Saidan.

Beliau berkata sebanyak 384 laporan polis telah diterima sejak 2022 hingga Jun lepas dengan faktor perselisihan faham merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 296 kes selain masalah kewangan (38 kes), mabuk dan penyalahgunaan dadah masing-masing 13 kes serta cemburu (lima kes).

Beliau berkata sebanyak 253 keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang tahun lepas dengan daerah Kuantan mencatatkan rekod kes tertinggi iaitu 84 kes, Bera (29), Maran (28), Temerloh (27), Pekan (17), Kuala Lipis (16), Bentong (15), Rompin (14), Raub (11), Jerantut (10) dan Cameron Highlands (dua).

Bagi tahun ini setakat Jun, sebanyak 131 kes telah diterima dengan Kuantan merekodkan 41 kes, Maran (15), Temerloh (13), Rompin (11), Jerantut (12), Bera dan Bentong masing-masing 10 kes, Pekan (tujuh), Kuala Lipis (enam), Raub (lima) dan Cameron Highlands (satu).

"Langkah yang diambil kerajaan untuk membendung isu ini berlaku melibatkan pelbagai pendekatan antaranya aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia menerusi pencegahan dan pemulihan," katanya.

Sabariah berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada Isnin bagi menjawab soalan Woo Chee Wan (PH-Mentakab) yang ingin tahu jumlah kes, faktor dan langkah diambil kerajaan untuk membendung keganasan rumah tangga.

Mengenai langkah pencegahan, beliau berkata kempen kesedaran keganasan rumah tangga menggunakan platform ceramah, forum hebahan dan berkaitan telah diadakan selain memberi pelindungan yang sewajarnya kepada mangsa keganasan rumah tangga seperti perintah perlindungan kecemasan (EPO).

-- BERNAMA